Jumaat, 7 Januari 2022

Hari Pertama Sekolah

    Assalamualaikum wbt dan selamat petang semua. Harini aku masih 'in mood' untuk menceritakan kisah-kisah aku. Hahaha... Okey, tanpa berlengah lagi dengan lafaz Bismillah aku ceritakannya ya... Nak dijadikan cerita, aku ni masa kecil tak dihantar ke tadika atau prasekolah. Bila sekolah, terus masuk darjah satu. Darjah satu sekolah aku ni ada penilaian lah terlebih dahulu untuk tentukan samaada masuk kelas Bestari atau Harapan. Waktu ni, orang kata Bestari nilah kelas pandai. Jadi, ujiannya adalah kena mewarna di atas kertas bergambar. Hahaha. Semasa aku masuk ke kelas, aku sebenarnya tidak mengenali sesiapa pun kecuali Udin a.k.a jiran aku. Jadi, masa memilih tempat duduk, aku memilih untuk duduk dekat dengan Udin iaitu di belakangnya sebab di sebelah Udin dah ada orang lain. Di sebelah aku sebenarnya seorang lelaki iaitu Azri. Memandangkan aku kecil lagi, aku tak kisah sangat nak duduk di sebelah siapa. 
    Sebelum memulakan ujian tu, ada seorang cikgu yang sedang menulis hari dan tarikh di atas papan putih sambil bertanya kepada semua murid.
    "What day is today?", tanya cikgu itu.
    "Today is Monday", jawab semua orang kecuali aku.
    "What date is today?", tanya cikgu itu lagi. 
    "Today is second January two thousand five", jawab semua orang dengan lantang sekali.
    Sesungguhnya aku terkedu mendengar jawapan-jawapan yang disuarakan oleh semua rakan-rakan sekelas aku sebab sebenarnya aku tak faham apa pun yang cikgu itu perkatakan. Hahahaa... Naif sungguh aku ketika ini. Kemudian, barulah kami dibenarkan untuk mula mewarna. Semasa mewarna, ada bermacam-macam gelagat aku tengok. Antaranya, sorang yang paling belakang tu bila aku pandang dia terus senyum-senyum, ada yang jogket kerusi, ada yang bawa pengasah pensil gergasi yang digunakan oleh rakan-rakan yang lain, ada yang cuba meminjam pensil warna kawan yang lain sambil dipesan supaya letak dikedudukan sekian-sekian, ada yang bersembang dan bermacam-macam lagi. 
    Setelah siap mewarna, kami dikehendaki untuk menulis nama di belakang kertas. Sejujurnya aku tidak pernah tahu nama sebenar aku, sebab di rumah, ahli keluarga aku cuma memanggilku dengan panggilan 'ipah' tetapi aku tahulah ada bunyi-bunyi Arifah. Jadi, aku rujuk di buku tulis yang kakak aku sudah siapkan nama aku di depannya dengan meniru sebijik-sebijik tanpa tahu membaca. Hahaha.
    Apabila sudah selesai menghantar, kami semua dibenarkan untuk keluar rehat. Semua orang berlari-lari untuk pergi ke kantin kecuali aku. Aku terpinga-pinga dan tidak tahu mahu menuju ke arah mana sebab aku tidak tahu pun kantin di mana. Hahahaha... Aku hanya mundar-mandir di koridor kelas selama 15 minit rasanya. Tiba-tiba ada seseorang melambai-lambai tangan ke arah ku. Aku pun pergi ke arahnya. Rupa-rupanya dia seorang kakak senior darjah 6 yang sewaktu aku di rumah, aku pernah melihatnya berjalan di jalan hadapan rumah aku. Dalam hatiku, aku menganggapnya mungkin dia mengenali aku. Lalu dia pun bertanya.
    "Adik tak rehat ke?", tanya kakak itu. Lalu aku menggelengkan kepala.
    "Adik bawa duit tak?", tanyanya lagi. Lalu aku mengganggukkan kepala sambil mengeluarkan 50 sen yang diberikan abahku semasa menghantarku ke sekolah.
    "Oh, ada 50 sen... Adik belilah kuih karipap 2 biji dengan air segelas. Kuih satu 20 sen, air pula 10 sen", kata kakak itu. 
    "Okey baik, terima kasih", jawab aku dan terus berlalu pergi untuk membeli seperti yang kakak senior itu cadangkan. Sesungguhnya aku sangat lega apabila disapa oleh kakak senior itu sebab aku terlalu asing dengan suasana sekolah terutama sekali kantin kerana terlalu ramai orang asing yang menakutkan di situ. Kenapa takut? Mana tidaknya, sebelum ni aku sorang-sorang sahaja di rumah, bila aku melihat ada sebegitu ramai manusia, aku jadi takutlah. 
    Haa.. apabila sudah waktu balik, orang yang senyum-senyum semasa di kelas tadi menyapa aku.
    "Ooi, aku kenal hang. Selalu nampak hang main rumput depan rumah hang", katanya.
    "Yaka, hahahaha... apa nama hang?", tanya aku sambil terkejut.
    "Salehah... rumah aku dekat ja dengan rumah hang, nama hang siapa", jawabnya sambil bertanya namaku.
    "Arifah", jawabku ringkas.
    "Okey, nanti dalam kelas tegur-tegurlah aku. Aku balik dulu, ayah aku sampai dah. Bye", kata Salehah sambil melambai tangan dan menuju ke arah motosikal ayahnya.
    "Bye", balasku semula.
Sementara menunggu abahku menjemputku pulang, aku duduklah di atas batu. Kelihatan satu demi satu rakan-rakan yang lain dijemput. Tunggu punya tunggu tanpa disedari sebenarnya hanya tinggal aku seorang sahaja yang belum dijemput ketika itu. Datang seorang pakcik 'guard' bertanya kepadaku.
    "Abah tak mai lagi ka?", tanya pakcik guard. Lalu aku menggelengkan kepala.
    "Laa... kesian, dah nak dekat pukul 7 malam dah", katanya lagi. Tidak lama selepas itu air mata ku mulai keluar. Aku takut sebenarnya bila berseorang diri tanpa ditemani orang-orang yang dikenali. Hahahaha. 
    "Haa tudia, ni ka abah?", tanya pakcik guard itu apabila melihat abahku datang. Lalu aku menggangguk sambil pergi ke arah abah dan pulanglah ke rumah.
    Yaa begitulah lebih kurang kejadian pada hari pertama aku di sekolah. Macam-macam peristiwa yang terjadi sampai aku tidak boleh lupakan sampai sekarang. Rupa-rupanya last sekali tu abah aku lupa yang aku kat sekolah. Kadang-kadang aku tergelak sendiri bila teringat kebodohan waktu kecik-kecik dulu. Setiap yang berlaku dahululah yang telah mematangkan aku hari ini. Aku bersyukur sangat disekelilingku dipenuhi oleh orang yang baik-baik belaka. Dan selepas hari itu, terdapat banyak lagi kebodohan yang aku lakukan tetapi tidak berkesempatan untuk diceritakan sekarang. Sejujurnya sampai sekarang aku masih ketakutan bila berada di kawasan yang ramai orang. Rasanya seperti gemuruh gitu. Tangan bertukar sejuk dan bergetarlah yang paling ketara sekali. Okeylah, setakat ini sahaja penceritaan aku. Doakan aku supaya tak takut lagi dengan orang sebab aku rasa terbatas sangat bila nak bersembang atau berkawan. 
    

Khamis, 6 Januari 2022

Permulaan Yang Indah Berakhir Derita

    Wahhh... Tajuk dah macam novel bersiri drama pukul 7 pula. Hihihi. Kali ini aku ingin membawakan kisah percintaan aku yang telah terputus di tengah jalan sebanyak dua kali. Yaa tuan-tuan dan puan-puan, dua kali. Sememangnya luka yang ditinggalkan itu terlalu dalam sehinggakan mengganggu jiwa dan ragaku. Hidup aku sebelum mengenal erti cinta memang simple. Paling-paling sunyi pun dia tak sesunyi lepas putus cinta. Kenapa eh macam tu? Jadi, aku pun buat la bacaan tah mana tah aku rembat dia kata sebenarnya diwaktu bercinta, otak kita menerima hormon kebahagian iaitu 'oxytocin'. 'Neurotransmitter' aku dah terbiasa ada hormon ni masa bercinta jadi, bila dah putus ni dia macam tak tentu hala macam tengah gian dadah, ah lebih kurang gitu la cerita dia. Hahaha.

    Tapi takpa, aku ceritakan satu-persatu yaa. Bekas kekasih hati aku yang pertama aku namakan dia Jay dan bercinta dari September 2017 hingga Mac 2020. Dia kenalkan dirinya di whatsapp dengan cara mengambil nombor aku secara senyap-senyap melalui phone adiknya yang aku kenal melalui wechat. Okey setakat ni faham ke? Okay kalau faham aku teruskan... Perkenalan aku dengan Jay pada awalnya hanyalah kawan biasa dan seminggu selepas itu kami bertemu dan mula kenal hati budi masing-masing. Semasa perkenalan kami, Jay beritahu yang dia baru sahaja tamat kontraknya dengan Perbadanan Air Pulau Pinang jadi dia sedang mencari kerja baru. Pada pertemuan pertama kami, Jay telah memuat naik gambar di status whatsappnya dan kebetulan emak Jay pun terlihat juga status itu. Emak Jay mendapati Jay keluar dengan seseorang yang dikira istimewalah tu dan secara tidak langsung menjemputku untuk datang ke rumah. Mak dan arwah ayah Jay sangat-sangatlah baik dan merestui hubungan kami berdua. Selepas daripada perkenalan kami, banyak pula persamaan yang berlaku antara kami seperti orang kata 'ada jodoh la tu'. Antaranya, bila pi mall terserempak, pi makan terserempak juga, key chain kunci motor serupa, pakai baju serupa dan macam-macam lagi.

    Apa yang membuatkan aku cinta kat Jay adalah kerana agamanya. Semasa ber'chat' dan ber'otp', Jay selalu ingatkan aku pasal kematian, rezeki, ilmu al-Quran dan sebagainya sampai aku rasa kerdilnya diri ini walaupun Jay selalu rendah diri cakap dia hanyalah lepasan spm sahaja. Banyak juga kenangan manis kami berdua antaranya menonton wayang tamil di hari Deepavali yang mana secara tidak sengaja kami berdua sahaja orang Melayu ketika itu. Hahahaha. Aku ingat lagi tajuk cerita tu dan dialah yang membawa minatku menonton cerita-cerita tamil. 

Ni lah cerita tu. Tajuknya "Mersal"
    Memandangkan aku seorang yang jarang keluar rumah, Jay selalu membawaku ke tempat-tempat yang cantik yang mana tanpa disedari tempat itu hanyalah berdekatan dengan rumah aku sahaja. Jay juga pernah memberi hadiah sejambak bunga walaupun tanpa ada tarikh-tarikh bermakna pun. Kalau ber'karaoke' dia memang no. 1 dan selalu nyanyi lagu yang tarik tinggi-tinggi sampai meremang bulu roma bila dengar. Hahaha... Bila aku di kolej, Jay tak pernah lupa untuk call aku. Kadang sampai pukul 2-3 pagi masih lagi ber'otp'. Orang kata cinta itu buta, kawan-kawan aku selalu curiga dengan Jay ni. Diarong selalu pertikaikan yang Jay sebenarnya kerja apa. Aku pun jawablah yang dia sekarang kerja tangkap-tangkap gambar kat 'site'. Begitu juga dengan abah aku, walaupun baru sekali jumpa, abah aku pun dah curiga yang Jay ni kerja apa.

    Tahun demi tahun berlalu, sayang pun semakin sayang. Jay dan aku merancang untuk berkahwin setelah aku tamat belajar iaitu pada tahun 2022. Namun, pada awal Mac 2020 dia mula berterus-terang denganku. Aku ada merajuk dengan Jay waktu tu sebab dia dah kurang berkomunikasi denganku. Dia memberitahu ku sebenarnya dia tipu sahaja sibuk tengah bekerja padahal selama ini dia tak bekerja pun, bila malam dia sengaja buat alasan sibuk sebab nak melepak bersama-sama kawannya, dia juga bohong cakap sudah berhenti merokok padahal dalam fb live ada dua batang rokok aku nampak dia hisap, semua duit semasa membawa aku makan rupa-rupanya mak dia yang bagi dan macam-macam lagi dia cuba jelaskan. Akhirnya setelah aku saksikan sendiri, barulah aku percaya bahawa aku sudah ditipu dan dia sendiri berterus-terang mahu putuskan aku sebab aku layak terima lelaki yang lebih baik darinya. Huhuhu. Sesungguhnya sangat perit aku lalui hari-hariku selepas itu kerana aku terlalu banyak bergantung dengannya untuk menceritakan sesuatu dan menemani hari-hariku memandangkan aku seorang yang introvert.

    Korang mesti penat dah kan baca. Hahaha... Tapi aku belum ceritakan lagi kisah bekas kekasih aku yang kedua. Okey, aku mulakan ya... Sebenarnya semasa berkenalan aku dengan Kim (bukan nama sebenar) aku masih tak terbuka hati aku kat sapa-sapa lagi. Aku kenal dengan Kim pada akhir Julai tahun 2020 sampai akhir tahun 2021. Kami berkenalan melalui fb kerana dia menegur 'story' ku yang berbasikal sejauh 11km yang mana dia ingatkan aku berlari sejauh itu. Hahahaha... Perkenalan kami dan juga cara kami mengikat janji begitu mudah. Aku dan Kim juga berterus-terang bahawasanya kami berkenalan sebab betul-betul serius untuk melangkah ke 'step' seterusnya. Untuk pertemuan kali pertama, aku kelihatan Kim agak berusia dan seperti 'gangster' kerana memakai vape di leher padahal umurnya sebenarnya baru sebaya aku. Aku agak takut-takut untuk berdepan dengan Kim kerana dalam fikiran ku Kim ni mungkin orang jahat. Hahaha...

    Setelah dia membuka cermin mata hitamnya dan berkomunikasi secara depan denganku barulah aku sedar rupanya dia 'is not bad'. Badannya agak sado bagiku tapi bila dilihat pada mukanya ianya seperti baru lepas memakai bedak. Hahahaha. Jadi aku pun menarik nafas lega kerana percayalah yang Kim ni sebenarnya orang yang baik-baik sahaja. Pada mulanya, Kim beria ber'chat' dengan ku. Tapi yang peliknya sejak perkenalan, Kim tak pernah call aku kecuali apabila aku memaksa. Semakin lama semakin sibuk pula si Kim dengan kerjanya dan kadang-kadang alasannya tertidur sudah. Masa untuk melepak dengan member ada saja, bila nak berjumpa dengan aku beberapa minit pun tak sempat dah. Aku selalu tenangkan hati aku mungkin dia betul-betul ada kerja kan dan betul-betul penatkan. 

    Jadi aku bagi dia ruang dan apabila tahap aku dah terlalu rindu aku buat perangai merajuk aku. Biasalah rutin aku bila merajuk tu aku akan block dia di semua tempat media sosial. Tapi pada waktu yang sama aku tunggu dia supaya dia call aku. Akhirnya 3 hari berlalu, kadang-kadang seminggu itupun Kim mesej supaya aku unblock dia balik. Huhuhu. Aku rasa seperti terseksa waktu ni, tapi aku tak serik. Aku termakan sahaja apa yang dia cakap sebab kami dah janji. Setelah banyak kali hubungan kami bergolak, akhirnya dia memberitahu aku untuk melepaskan aku kali ni kerana dia tidak pasti apa yang dia mahukan dalam hidupnya. Kim pun dah tak sampai hati melihat aku tertunggu-tunggunya lagi. Huhuhu

    Di sini aku nak sampaikan kepada diriku apabila berkasih tu janganlah sampai keterlaluan. Hahahaha dah macam Masdo pula. Apa-apa pun yang berlaku ini aku anggapnya sebagai ujian. Entahlah macam mana nak teruskan hidup dengan tiada langsung saki-baki hati yang hancur ini. Huhuhu. Luahan ini sedikit sebanyak telah menghidupkan aku semula. Semoga tahun ni aku dijodohkan dengan seseorang yang beriman, kaya-raya, boleh berikan perhatian, peramah, good looking, kelakar dan setia pada yang satu. Aminnn

    

Rabu, 5 Januari 2022

Hidupku Yang Luar Biasa

 Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera. Pertama sekali aku ingin mengatakan bahawasanya sudah 4 tahun aku tidak aktif menulis di sini. Hahahaah... Kehadiran aku hari ini adalah kerana teringatkan kisah suka duka ku pada zaman persekolahan dahulu. Ya, Alhamdulillah aku sudah tamatkan pelajaranku hingga ke peringkat sarjana muda. Terima kasih buat semua yang telah mendoakan kesejahteraan aku sepanjang mengambil jurusan fisioterapi ini. Buat pengetahuan semua, sekarang ini aku masih sedang mencari-cari lagi kehidupanku. 

    Hari ini aku rasa cita-cita dan niatku pada tahun 2017 semasa mengambil jurusan ni untuk menjaga emak ku yang sakit kaki menjadi kenyataan. Mari aku ceritakan step by step kisah ni. Hihihi... Okey, semasa aku di tahun akhir pengajian, negara kita sedang dikejutkan dengan virus Covid-19 dan waktu itu semua urusan kelas secara bersemuka tidak dibenarkan. Nak dijadikan cerita, waktu ni keadaan kaki mak aku semakin kritikal dan pada masa yang sama doktor juga sahkan mak aku menghidap penyakit buah pinggang. 

    Tidak tertanggung sedih ini kerana semua ini berlaku di depan mata aku sendiri. Kini, mak aku hanyalah duduk di wheelchair dan pergerakannya agak terhad kerana bergantung hampir 80% pada orang lain untuk menguruskan diri. Sepanjang odl (open distance learning a.k.a online) aku di rumah sempatlah tengok-tengokkan mak aku walaupun sebenarnya tak pernah fokus di dalam kelas. Mana tidaknya, kat rumah ni ada bermacam-macam perkara yang perlu dilakukan. Antara benda-benda gila yang pernah aku lakukan semasa di kelas mahupun sedang menjawab test atau kuiz antaranya aku bagi mandi mak aku, bagi bersiap, bagi makan ubat, masak sarapan, masak tengah hari, bawa pergi toilet dan bermacam-macam hal lagi. Walaupun hal ini kelihatan luar biasa sebab tengah on kelas kan, tetapi secara keajaibannya hari ini aku berjaya tamatkan pelajaran aku. Syukur Alhamdulillah ya Allah.

    Setelah tamat pengajian, secara rasminya akulah yang menjaga mak ku walaupun di sudut hati ku ada secebis kesedihan kerana melihat kawan-kawan yang lain telah memulakan alam pekerjaan mereka. Walaupun begitu, rezeki ku sebenarnya tidak pernah putus kerana ada keluarga yang sentiasa kongsikan rezeki mereka kepadaku ditambah pula homestay keluargaku yang baru sahaja dibuka pada tahun 2020 dan juga bisnes kecil-kecilan membuat photobook. Alhamdulillah. Kalau ada yang nak menginap di homestay keluarga aku, boleh search di fb Homestay Keluarga Haji Karim. Homestay keluaga aku berdekatan dengan Ban Pecah, Tanjong Piandang dan Kuala Kurau, dan untuk photobook pula, boleh search kat fb Photobook.cantik. Doakan aku untuk terus kuat dan sukses di masa akan datang gais. Terima kasih kepada yang sudi membaca.