Jumaat, 7 Januari 2022

Hari Pertama Sekolah

    Assalamualaikum wbt dan selamat petang semua. Harini aku masih 'in mood' untuk menceritakan kisah-kisah aku. Hahaha... Okey, tanpa berlengah lagi dengan lafaz Bismillah aku ceritakannya ya... Nak dijadikan cerita, aku ni masa kecil tak dihantar ke tadika atau prasekolah. Bila sekolah, terus masuk darjah satu. Darjah satu sekolah aku ni ada penilaian lah terlebih dahulu untuk tentukan samaada masuk kelas Bestari atau Harapan. Waktu ni, orang kata Bestari nilah kelas pandai. Jadi, ujiannya adalah kena mewarna di atas kertas bergambar. Hahaha. Semasa aku masuk ke kelas, aku sebenarnya tidak mengenali sesiapa pun kecuali Udin a.k.a jiran aku. Jadi, masa memilih tempat duduk, aku memilih untuk duduk dekat dengan Udin iaitu di belakangnya sebab di sebelah Udin dah ada orang lain. Di sebelah aku sebenarnya seorang lelaki iaitu Azri. Memandangkan aku kecil lagi, aku tak kisah sangat nak duduk di sebelah siapa. 
    Sebelum memulakan ujian tu, ada seorang cikgu yang sedang menulis hari dan tarikh di atas papan putih sambil bertanya kepada semua murid.
    "What day is today?", tanya cikgu itu.
    "Today is Monday", jawab semua orang kecuali aku.
    "What date is today?", tanya cikgu itu lagi. 
    "Today is second January two thousand five", jawab semua orang dengan lantang sekali.
    Sesungguhnya aku terkedu mendengar jawapan-jawapan yang disuarakan oleh semua rakan-rakan sekelas aku sebab sebenarnya aku tak faham apa pun yang cikgu itu perkatakan. Hahahaa... Naif sungguh aku ketika ini. Kemudian, barulah kami dibenarkan untuk mula mewarna. Semasa mewarna, ada bermacam-macam gelagat aku tengok. Antaranya, sorang yang paling belakang tu bila aku pandang dia terus senyum-senyum, ada yang jogket kerusi, ada yang bawa pengasah pensil gergasi yang digunakan oleh rakan-rakan yang lain, ada yang cuba meminjam pensil warna kawan yang lain sambil dipesan supaya letak dikedudukan sekian-sekian, ada yang bersembang dan bermacam-macam lagi. 
    Setelah siap mewarna, kami dikehendaki untuk menulis nama di belakang kertas. Sejujurnya aku tidak pernah tahu nama sebenar aku, sebab di rumah, ahli keluarga aku cuma memanggilku dengan panggilan 'ipah' tetapi aku tahulah ada bunyi-bunyi Arifah. Jadi, aku rujuk di buku tulis yang kakak aku sudah siapkan nama aku di depannya dengan meniru sebijik-sebijik tanpa tahu membaca. Hahaha.
    Apabila sudah selesai menghantar, kami semua dibenarkan untuk keluar rehat. Semua orang berlari-lari untuk pergi ke kantin kecuali aku. Aku terpinga-pinga dan tidak tahu mahu menuju ke arah mana sebab aku tidak tahu pun kantin di mana. Hahahaha... Aku hanya mundar-mandir di koridor kelas selama 15 minit rasanya. Tiba-tiba ada seseorang melambai-lambai tangan ke arah ku. Aku pun pergi ke arahnya. Rupa-rupanya dia seorang kakak senior darjah 6 yang sewaktu aku di rumah, aku pernah melihatnya berjalan di jalan hadapan rumah aku. Dalam hatiku, aku menganggapnya mungkin dia mengenali aku. Lalu dia pun bertanya.
    "Adik tak rehat ke?", tanya kakak itu. Lalu aku menggelengkan kepala.
    "Adik bawa duit tak?", tanyanya lagi. Lalu aku mengganggukkan kepala sambil mengeluarkan 50 sen yang diberikan abahku semasa menghantarku ke sekolah.
    "Oh, ada 50 sen... Adik belilah kuih karipap 2 biji dengan air segelas. Kuih satu 20 sen, air pula 10 sen", kata kakak itu. 
    "Okey baik, terima kasih", jawab aku dan terus berlalu pergi untuk membeli seperti yang kakak senior itu cadangkan. Sesungguhnya aku sangat lega apabila disapa oleh kakak senior itu sebab aku terlalu asing dengan suasana sekolah terutama sekali kantin kerana terlalu ramai orang asing yang menakutkan di situ. Kenapa takut? Mana tidaknya, sebelum ni aku sorang-sorang sahaja di rumah, bila aku melihat ada sebegitu ramai manusia, aku jadi takutlah. 
    Haa.. apabila sudah waktu balik, orang yang senyum-senyum semasa di kelas tadi menyapa aku.
    "Ooi, aku kenal hang. Selalu nampak hang main rumput depan rumah hang", katanya.
    "Yaka, hahahaha... apa nama hang?", tanya aku sambil terkejut.
    "Salehah... rumah aku dekat ja dengan rumah hang, nama hang siapa", jawabnya sambil bertanya namaku.
    "Arifah", jawabku ringkas.
    "Okey, nanti dalam kelas tegur-tegurlah aku. Aku balik dulu, ayah aku sampai dah. Bye", kata Salehah sambil melambai tangan dan menuju ke arah motosikal ayahnya.
    "Bye", balasku semula.
Sementara menunggu abahku menjemputku pulang, aku duduklah di atas batu. Kelihatan satu demi satu rakan-rakan yang lain dijemput. Tunggu punya tunggu tanpa disedari sebenarnya hanya tinggal aku seorang sahaja yang belum dijemput ketika itu. Datang seorang pakcik 'guard' bertanya kepadaku.
    "Abah tak mai lagi ka?", tanya pakcik guard. Lalu aku menggelengkan kepala.
    "Laa... kesian, dah nak dekat pukul 7 malam dah", katanya lagi. Tidak lama selepas itu air mata ku mulai keluar. Aku takut sebenarnya bila berseorang diri tanpa ditemani orang-orang yang dikenali. Hahahaha. 
    "Haa tudia, ni ka abah?", tanya pakcik guard itu apabila melihat abahku datang. Lalu aku menggangguk sambil pergi ke arah abah dan pulanglah ke rumah.
    Yaa begitulah lebih kurang kejadian pada hari pertama aku di sekolah. Macam-macam peristiwa yang terjadi sampai aku tidak boleh lupakan sampai sekarang. Rupa-rupanya last sekali tu abah aku lupa yang aku kat sekolah. Kadang-kadang aku tergelak sendiri bila teringat kebodohan waktu kecik-kecik dulu. Setiap yang berlaku dahululah yang telah mematangkan aku hari ini. Aku bersyukur sangat disekelilingku dipenuhi oleh orang yang baik-baik belaka. Dan selepas hari itu, terdapat banyak lagi kebodohan yang aku lakukan tetapi tidak berkesempatan untuk diceritakan sekarang. Sejujurnya sampai sekarang aku masih ketakutan bila berada di kawasan yang ramai orang. Rasanya seperti gemuruh gitu. Tangan bertukar sejuk dan bergetarlah yang paling ketara sekali. Okeylah, setakat ini sahaja penceritaan aku. Doakan aku supaya tak takut lagi dengan orang sebab aku rasa terbatas sangat bila nak bersembang atau berkawan. 
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan